Ahad, 21 September 2008

Bulan Kemerdekaan

Selesai sudah bulan kemerdekaan...

Bulan kemerdekaan yang dicanang-canang sambutannya oleh setiap warga pendidik dan juga semua kakitangan kerajaan telah selesai. Namun bahang kemerdekaan masih tetap ada kerana telah 51 tahun negara kita Malaysia merdeka dari penjajah.

Adakah kita benar-benar merdeka? Persoalan ini seringkali bermain di kepala setiap individu yang bergelar rakyat Malaysia. Kita katakan diri kita merdeka tetapi adakah jiwa kita 'Merdeka'? Adakah minda kita 'Merdeka'? Adakah diri kita benar-benar 'Merdeka'? Untuk menjawab persoalan-persoalan ini, dengan itulah dilaksanakan program-program seperti 'Sambutan Bulan Kemerdekaan' ini bagi membolehkan anak-anak kita memahami erti 'kemerdekaan'.


Sambutan Bulan Kemerdekaan 2008 SKKB(HN)



Semasa Majlis 'Sambutan Bulan Kemerdekaan 2008 SKKB(HN)'


Para jemputan 'Sambutan Bulan Kemerdekaan 2008 SKKB(HN)'


Mengibarkan 'Jalur Gemilang' sambil menyanyikan lagu Patriotik


'Tayangan Perjuangan Kemerdekaan'


Ingatlah, kemerdekaan bukan hanya pada pandangan sahaja tetapi pada hakikinya kemerdekaan itu adalah 'merdeka' segala-galanya dengan mengikut aturan yang telah ditetapkan Allah.

Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka!


Ahad, 7 September 2008

Sekolah Kebangsaan Kampung Bukit (Hulu Nerus)


SEJARAH SEKOLAH

SK Kampung Bukit (HN) telah mula dibuka pada tahun 1954 dan dikenali sebagai sekolah rakyat dengan kumpulan murid pertama seramai 10 orang yang belajar di sebuah bangsal yang dibina oleh penduduk kampung. Guru pertama ialah Encik Nik bin Ali dari Kampung Telok Pasu, Kuala Terengganu yang berkelulusan darjah lima.

Pada tahun 1960 bangunan baru telah dibina sebagai ganti bangsal tersebut dengan kehadiran lebih ramai pelajar yang menjadikan kelas dibuka kepada 2 kelas dan guru ditambah kepada 3 orang guru. Bilangan murid meningkat pada tahun 1979 kepada 50 orang murid. Bangunan kedua yang terdiri daripada 3 bilik darjah dan satu bilik guru telah dibina pada tahun 1980. Keadaan ini berterusan sehinggalah pada tahun 1985 bilangan murid meningkat kepada 80 orang dan pada tahun 1986 bangunan ketiga yang mempunyai 3 bilik darjah telah didirikan.

SK Kampung Bukit (HN) telah dirasmikan oleh YAB Dato' Seri Wan Mokhtar bin Ahmad, Menteri Besar Terengganu pada tahun 1986. Keadaan ini membawa kepada sejarah murid paling ramai belajar di sekolah ini dengan bilangan murid seramai 95 orang iaitu pada tahun 1994. Ini memperlihatkan purata kemasukan murid adalah sekitar 10 orang setiap tahun.